KDCA Mohon Persekutuan Realisasikan Pembinaan Kolej Universiti di Tambunan

KDCA Mohon Persekutuan Realisasikan Pembinaan Kolej Universiti di Tambunan

0
SHARE

PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) memohon Kerajaan Persekutuan merealisasikan pembinaan sebuah kolej universiti di Tambunan yang disifatkan mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada masyarakat luar bandar serta pelajar dari seluruh negara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, permohonan itu disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyediakan tapak bagi projek berkenaan dan upacara pecah tanah juga pernah disempurnakan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Secara khusus, pihak KDCA ingin menyusul dan memohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk merealisasikan pembinaan sebuah kolej universiti di Tambunan.

Kerajaan Negeri telahpun menyediakan tanah atau tapak bagi pembinaannya. Malah upacara pecah tanah juga telahpun dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini di Tambunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Joachim berkata, pembinaan institusi pengajian tinggi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari kawasan luar bandar di Sabah, malah berpotensi menarik pelajar dari seluruh negara untuk melanjutkan pengajian di negeri ini.

“Pembinaan universiti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar komuniti luar bandar, tetapi juga kepada pelajar dari seluruh negara,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan, kebudayaan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan amat penting bagi memastikan generasi muda Sabah mempunyai akses pendidikan yang lebih luas dan berkualiti.

Pada masa sama, Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM5.9 juta bagi penganjuran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri dan daerah tahun ini, selain sumbangan RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, peruntukan tersebut bukan sahaja memastikan kelancaran penganjuran pesta itu, malah membantu menaik taraf kemudahan dan fasiliti di Hongkod Koisaan demi manfaat masyarakat dan pelawat.