RANAU, SABAH – Seorang pendaki lelaki tempatan telah mengalami kecederaan apabila tergelincir ketika sedang menuruni Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian terbaru melibatkan pendaki berusia 41 tahun yang tergelincir dan cedera di buku lali kiri.
Kejadian yang berlaku di Kilometer 6.7 Gunung Kinabalu kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin itu mendorong Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) bertindak pantas.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada 10.30 pagi melalui talian balai memaklumkan mengenai kejadian itu dan sepasukan tujuh anggota diketuai Pegawai Operasi, PB Reason Justin bergegas ke tempat kejadian.
“Mereka turut dibantu oleh seorang renjer Taman Kinabalu dan tujuh orang malim gunung…
“Apabila MOSAR tiba di lokasi yang terletak sejauh 6.7 kilometer, mereka mendapati seorang pendaki cedera di kaki dan mangsa diberi rawatan awal oleh anggota MOSAR dibantu kakitangan Taman Taman Sabah dan malim gunung.
“Mangsa dibawa turun ke Laban Rata dengan kaedah piggyback sebelum diangkat turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung,” katanya.
Menurut Ridwan, mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota EMRS dan dihantar ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, operasi ditamatkan pada 2.48 petang.





