KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata menyifatkan, Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu adalah satu pencapaian bersejarah dalam negara ini.
Beliau berkata, ianya merupakan pencapaian terbaik kepada golongan wanita negara ini untuk menentang gangguan seksual.
Tambah beliau, kini penubuhan Tribunal Gangguan Seksual boleh disegerakan bagi menangani pelbagai aduan berkaitan jenayah itu secara berkesan.
“RUU Antigangguan Seksual kini digazetkan sebagai undang-undang berperanan bagi melindungi hak serta kebajikan mangsa, tanpa mengira di tempat kerja, awam, kawasan pengangkutan awam dan banyak lagi.
“Kami berharap pihak berkuasa akan menggagalkan sebarang cubaan pelaku melakukan jenayah itu.
“Wanita juga jangan berasa takut sekiranya menjadi mangsa tanpa mengira pelakunya itu adalah majikan atau rakan sekerja, sebaliknya memperjuangkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Jelas Christina, mangsa tidak lagi perlu menderita secara senyap seperti yang dilaporkan. Kes seumpamanya tidak seharusnya disembunyikan sebaliknya dibawa kepada Tribunal yang bakal diwujudkan.
RUU Antigangguan Seksual 2021 pertama kali dibaca pada Disember tahun lalu dan Christina menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa perkara dalam RUU terbabit dalam persidangan Parlimen Mac lalu.
Bagaimanapun, Christina gembira apabila dimaklumkan bahawa mangsa boleh diwakili peguam bela pada Tribunal itu nanti dengan berpendapat bahawa perkara yang dibawakan pengadu melibatkan isu undang-undang.