KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam usaha mencapai aspirasi pendidikan negara.
Beliau berkata, ini bagi mencapai keseimbangan dan tuntutan terhadap generasi muda masa kini.
Oleh demikian, katanya, persiapan khusus perlu dipersiapkan agar anak-anak muda ini tidak terpesong daripada cita-cita perjuangan bangsanya sendiri.
“Jumlah yang amat besar diperuntukkan oleh kerajaan dalam usaha mencapai aspirasi pendidikan negara atas kesedaran bahawa hasrat unggul aspirasi pendidikan negara berdepan dengan cabaran yang besar dalam mencapai keseimbangan generasi muda dan tuntutan kemajuan yang sangat pesat pada era globalisisi kini,” kata beliau.
Beliau yakin langkah proaktif dan mapan pasti telah digerakkan secara optimum agar kualliti, kecemerlangan dan kemudahan di sekolah-sekolah di Malaysia sentiasa berada pada tahap yang terbaik selari dengan ledakan arus pendidikan global.
Beliau yang juga merupakan ADUN Karambunai menegaskan tentang keperluan mempersiapkan generasi muda hari ini dengan berbagai-bagai kemahiran hidup dan ilmu pengetahuan agar mereka tidak tersasar arah.
“Kita meletakkan seluruh kepercayaan bahawa anak bangsa yang dididik dengan acuan bangsa kita sendiri, lahir sebagai generasi yang tahu mengenang budi dan berterima kasih terhadap jasa baik dan pengorbanan yang diberikan oleh guru-guru, ibu bapa, masyarakat dan kepimpinan negara,” jelas beliau.
Yakub berkata demikian semasa merasmikan Majlis Mesyuarat Agung PIBG, SMK Pekan Telipok tahun 2022/2023 yang diadakan di SMK Pekan Telipok pada hari Sabtu.
Beliau memuji usaha Penasihat dan Jawatankuasa PIBG kerana telah berjaya merancang, mengelola dan seterusnya melaksanakan mesyuarat agung tahunan yang sungguh bermakna buat warga SMK Pekan Telipok itu.
“Saya amat terharu melihat kesungguhan para guru dan ibu bapa yang sentiasa bergading bahu demi melahirkan modal insan berkualiti buat negara yang kita cintai ini…
“Permuafakatan seumpama ini merupakan landasan terbaik untuk mengukuhkan ukuhwah dan persefahaman yang jitu dalam kalangan warga pendidik iaitu pihak sekolah dan para ibu bapa.
“Malahan, kesepaduan ini juga dapat mempereratkan kerjasama dan melakar keharmonian dengan masyarakat setempat.
“Dalam erti kata lain, permuafakatan yang tercipta sekian lama ini, haruslah dipelihara agar setiap pihak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam suasana yang harmoni,” kata beliau.
Yakub turut mengucapkan syabas dan tahniah keatas pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sekolah itu, yang mana telah menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 4.95.
“Pencapaian ini sangat membanggakan bagi seluruh warga SMK Pekan Telipok…
“Syabas dan tahniah buat warga pendidik dan para ibu bapa. Anda telah membuktikan bahawa walau apa pun cabaran yang dihadapi, kecemerlangan anak-anak tetap diutamakan.
“Tahniah juga kerana terdapat beberapa mata pelajaran yang telah mencapai keputusan 100 peratus lulus iaitu mata pelajaran Fizik, Kimia, Prinsip Akaun, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Pendidikan Moral, Geografi, Perniagaan, Ekonomi, dan Pendidikan Seni Visual,” ujar beliau.
Menurut Yakub, kejayaan dan kemanjadian anak-anak warga SMK Pekan Telipok turut memperlihatkan keazaman mereka untuk menyumbang kepada sekolah agar dapat melakar pencapaian terbaik bukan sahaja dalam pencapaian akademik tetapi juga dalam beberapa pertandingan.