KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah akan bekerjasama dalam pilihan raya dengan parti pembangkang tempatan yang boleh dipercayai dan boleh diharap serta parti kebangsaan yang berkongsi perjuangan Warisan.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata parti itu hanya mahu bekerjasama dengan parti yang integritinya tidak dipersoalkan dan tidak mempunyai kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Barisan Nasional (BN).
Sementara untuk parti kebangsaan, katanya walaupun beliau cuba untuk tidak membezakan di antara parti tempatan dan kebangsaan, beliau akan melihat bagaimana keputusan dibuat dalam parti politik itu.
“Jika mereka boleh membuat keputusan mereka sendiri di Sabah, maka sudah tentu. Saya berpendapat bahawa kami mendapati ia sukar untuk bekerjasama jika semuanya dipusatkan di tempat lain selain daripada di Sabah. Kami berhasrat dan mahu negeri mengawal sepenuhnya,” katanya semasa satu acara untuk memperingati ulang tahun pertama Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan UMNO di sini, pada Selasa.
Beliau berkata pokoknya ialah, Warisan berhasrat untuk mengembalikan zaman dahulu ketika Sabah diperintah oleh pergerakan dan ideologi tunggal yang dapat menyatupadukan rakyat di bawah satu manifesto dan perjuangan.
Beliau berkata rakyat sudah melihat betapa sukarnya ia apabila beberapa parti (walaupun dalam pakatan sama) sukar untuk memutuskan sesuatu perkara seperti Pindaan Mahkamah Syariah sehingga keputusan minit-minit akhir dibuat disebabkan tekanan.
Sejak 1994, Sabah diperintah oleh sebuah pakatan dengan setiap parti mempunyai penyokong sendiri berdasarkan sama ada bangsa atau agama.
“Kita sudah kehilangan perpaduan rakyat dan gantinya, kita mengikut model yang digunakan di semenanjung. Ia dipaksa kepada kita. Perpaduan berada di bawah satu parti yang memerintah Sabah telah hilang. Ramai orang yang telah terbiasa dengan model yang BN telah indoktrinasikan kepada kita di Sabah sejak 1994 menuduh kami angkuh apabila sebenarnya tidak.
“Warisan tetap dengan pendirian dan percaya bahawa kita terlebih dahulu mesti menyatupadukan rakyat Sabah di bawah satu pergerakan politik supaya keputusan kolektif dengan satu ideologi boleh dibuat dan menyelamatkan kita semua.
“Jika kita boleh menyatukan rakyat pantai timur, pantai barat dan pedalaman, maka kita boleh kembali ke era pemerintahan parti tunggal. Kita mesti berhati-hati agar kita tidak goyah dengan isu bangsa dan agama. Sebenarnya, parti politik harus berhenti menggunakan bangsa dan agama sebagai isu mereka dan menyatukan semua kumpulan untuk menyelesaikan masalah bersama kita,” katanya.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata Warisan tidak tergesa-gesa untuk mengumumkan potensi sekutu mereka tetapi berjanji akan memberikan sokongan penuh dan bantuan kepada sesiapa yang mereka putuskan untuk bergandingan dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata parti itu berazam untuk tidak membenarkan BN menang satu kerusi tanpa bertanding dan menegur mereka yang berkata bahawa mereka hanya mahukan kerusi tertentu, berharap parti pembangkang lain akan bertanding dalam kerusi yang lain.
“Sabah akan ada 73 kerusi. Jika kami katakan, kami hanya meminta 10 kerusi sahaja, maka 63 kerusi akan menang tanpa tanding jika yang lain tidak mengambilnya. Jadi kita mesti mengisytiharkan bahawa semua kerusi akan ditandingini.
“Sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab kita mesti mengisytiharkan bahawa semua kerusi akan ditandingini oleh pembangkang. Oleh itu pakatan pilihan raya boleh dicapai bersama parti pembangkang yang bertanggungjawab dan Warisan apabila tiba masanya,” katanya.
Sebagai parti politik yang bersedia mencabar pakatan pemerintah, semua parti pembangkang mesti bertanggungjawab dan tidak memperjudikan masa depan rakyat, tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan alasan obsesi sesetengah orang yang meminta pertandingan satu lawan satu di antara BN dan pembangkang, mengatakan idea itu dicetuskan oleh BN untuk menawarkan hati rakyat.
“Ia adalah mustahil untuk mempunyai satu lawan satu, Saya berpandangan bahawa kita tidak akan dapat pertandingan satu lawan satu itu. Sentimen ini disebarkan oleh mereka yang membuatnya seolah-olah kita pernah mempunyai pertandingan satu lawan satu sebelum ini.
“Kita harus tidak harus membenarkan orang lain menentukan apa yang kita fikir. Jangan biarkan BN atau beberapa pembangkang beritahu apa yang kita mesti lakukan. Kita mesti yakin berkempen dan menawarkan kepada rakyat alternatif sebenar untuk kerajaan dan berkerjasama dengan pembangkang yang boleh dipercayai yang mempunyai visi sama dengan kita,” katanya.
Tanggapan bahawa BN hanya boleh ditewaskan jika pembangkang bersatu dan mencabar pakatan pemerintah dengan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi telah dimainkan sejak sekian lama, terutamanya selepas keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 menunjukkan bahawa BN boleh tewas banyak kerusi jika undi pembangkang tidak terpecah.
Bagaimanapun, rakyat Sabah menyatakan kebimbangan mereka tentang kemungkinan risiko calon dalam pertandingan satu lawan satu melompat ke parti lain semasa tempoh berkempen.
Setakat ini pakatan pembangkang tempatan iaitu Gabungan Sabah (USA) mempunyai empat parti di bawahnya sementara pakatan kebangsaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat untuk meletakkan calon di negeri ini juga dengan DAP Sabah sudah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding di 20 kerusi negeri dan lapan kerusi parlimen baru-baru ini.
Parti Cinta Sabah (PCS) yang meninggalkan USA yang memihak kepada pakatan besar, satu gabungan semua parti pembangkang tempatan dan kebangsaan, bergerak sendiri buat masa ini sama seperti Warisan.
– HarianEkspres