KOTA KINABALU, SABAH – Pegawai-pegawai Kementerian Pelancongan Sabah dan Kementerian Pelancongan Sarawak bertemu di sini pada pagi Selasa untuk membincangkan Akta Cukai Pelancongan 2017.
Delegasi pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau diiringi oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ik Pahon dan Timbalan Peguam Besar Sarawak, John Wayne Sirau.
Delegasi Sabah ke mesyuarat itu diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun, diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementeriannya dan Timbalan Peguam Besar Sabah, Zaleha Pandin.
Wakil-wakil industri hospitaliti dan pelancongan dari kedua-dua negeri turut hadir.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan implikasi Akta Pelancongan 2017 ke atas Sabah dan Sarawak serta mencari persamaan bagi kedua-dua negeri untuk mengambil pendirian bersama ke atas sesetengah peruntukan dalam Akta itu.
“Pertemuan itu diadakan dalam suasana mesra. Saya gembira untuk mengumumkan bahawa Kementerian-Kementerian Pelancongan Sabah dan Sarawak telah mencapai persetujuan mengenai pendirian bersama ke atas sesetengah peruntukan utama Akta berkenaan.
“Mesyuarat itu juga telah bersetuju dengan cadangan untuk memperkemas peruntukan tertentu Akta itu bagi memastikan pertumbuhan dan kelestarian industri pelancongan khususnya di Sabah dan Sarawak,” kata Masidi.
Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju bahawa jika Akta itu dikuatkuasakan, ia harus berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan industri dan menyumbang kepada keanjalan ekonomi negara, dan bukan penghalang kepad daya saing negara dalam industri pelancongan global.
Mesyuarat itu bersetuju mengenai kandungan satu draf memorandum (mengenai Akta Pelancongan 2017) kepada kerajaan Persekutuan yang akan diserahkan masing-masing kepada Ketua Menteri Sabah dan Sarawak untuk pengesahan mereka.
Kedua-dua pemimpin kemudian akan menyerahkan memorandum itu kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewanganm Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan serta tindakan lanjut.
Masidi berkata kepentingan industri pelancongan Sabah dan Sarawak merupakan pertimbangan utama dalam penyediaan memorandum mengenai Akta Cukai Pelancongan 2017.
“Pertumbuhan dan kelestarian industri adalah penting kepada kesejahteraan ekonomi masa hadapan kedua-dua negeri Borneo itu,” katanya.
– HarianEkspres