Fitnah Pembangkang Terbongkar Selepas Data GPI Dikeluarkan – Dr Salleh

Fitnah Pembangkang Terbongkar Selepas Data GPI Dikeluarkan – Dr Salleh

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kedudukan negara yang baik dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2017 dan Laporan Kegembiraan Dunia 2017 adalah bukti bahawa dakwaan negara tidak aman dan kehidupan rakyat tidak sejahtera yang sering diuar-uarkan pembangkang adalah fitnah semata-mata.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata data-data itu juga menunjukkan tuduhan pembangkang itu jauh daripada fakta sebenar dan fitnah berterusan yang menafikan kejayaan negara itu bertujuan menakutkan dan menimbulkan rasa benci rakyat kepada kerajaan.

Data GPI yang dikeluarkan bulan lepas meletakkan Malaysia di tangga ke-29 negara teraman di dunia daripada 163 buah negara dan kedudukan itu jauh lebih baik berbanding negara kuasa besar seperti United Kingdom yang berada di tangga 41, Amerika Syarikat (114), China (116) dan Rusia (151).

Kedudukan Malaysia itu juga lebih baik daripada negara anggota ASEAN lain termasuk Laos yang berada di tangga 48, Indonesia (52), Vietnam (59), Kemboja (89), Myanmar (104) , Thailand (120) dan Filipina (138).

“Dengan data ini, apakah rasional parti pembangkang mendakwa Malaysia sebagai negara yang tidak selamat dan tidak aman.

“Kenapakah mereka tidak menghargai usaha kerajaan yang berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara selamat dan sejahtera untuk rakyat?”, soalnya dalam catatan blog beliau, sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Salleh berkata pembangkang turut menabur fitnah dengan mendakwa rakyat negara ini tidak lagi gembira di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berasaskan kepada faktor seperti kos hidup yang tinggi akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasuah yang berleluasa dan jenayah yang tidak terbendung.

Sebaliknya, berdasar Laporan Kegembiraan Dunia 2017 yang dikeluarkan pada Mac lepas mentakrifkan kegembiraan rakyat Malaysia di tangga 42 daripada 155 buah negara, jauh lebih baik daripada negara Asean lainnya kecuali Singapura (26) dan Thailand (32).

“Tidakkah data ini menunjukkan tahap kegembiraan dan kesejahteraan hidup rakyat bukanlah seperti yang digambarkan oleh parti pembangkang? Inilah yang saya katakan betapa selama ini parti pembangkang memfitnah tentang kejayaan yang dicapai oleh negara kita,” katanya.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu, negara Asean lain seperti Filipina berada di tangga 72; Indonesia (81); Vietnam (94); Myanmar (114) dan Kemboja (129), manakala bagi negara maju, Poland berada di tangga 46; Itali (48); Rusia (49); Korea Selatan (55) dan Hong Kong (71).

Nilai kegembiraan itu diukur dengan menggunakan lapan indikator iaitu pendapatan kasar negara (GDP) per kapita rakyat, sokongan sosial kerajaan, jangka hidup rakyat, kebebasan rakyat untuk membuat pilihan hidup, sikap kemurahan hati rakyat, kadar salah laku rasuah, tahap keyakinan dan sikap kemanusiaan rakyat.

“Semoga catatan ini boleh memberikan gambaran sebenar kedudukan keamanan dan kegembiraan rakyat kita. Data yang diberikan menunjukkan betapa selama ini kejayaan kita banyak diputarbelitkan oleh pembangkang…kuatnya fitnah pembangkang,” tulisnya.

Salleh bagaimanapun mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk menjadikan negara ini terbaik dalam kalangan negara yang baik.

“Itulah yang sedang kita lakukan sekarang. Malangnya, dalam usaha kita mengorak langkah ke depan, pembangkang pula semacam histeria menyatakan negara kita lemah dan merudum jatuh ke belakang,” kata Salleh.

– Bernama