Badan Tersepit Lif Barang, Remaja Lelaki Maut

Badan Tersepit Lif Barang, Remaja Lelaki Maut

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PENDANG, KEDAH – Seorang remaja lelaki maut selepas badannya tersepit pada lif barang dalam kejadian di tingkat dua sebuah kedai perkakasan di Jalan Sukamari di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, sedang bekerja di premis tersebut.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Mohd. Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 3.05 petang dan tiba di lokasi 25 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati seorang lelaki berusia 16 tahun tersepit pada lif yang digunakan untuk mengangkut barang.

“Anggota bomba kemudian menggunakan mesin gergaji bagi memotong besi lif tersebut untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tersepit pada bahagian dada dengan bahagian dada ke bawah berada di dalam lif manakala kepala dan tangan kirinya terjulur ke tingkat bawah.

Kata beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat,” ujarnya.

– K.Online