Mesej Keimanan Menerusi Drama MIHRAB CINTA ZULAIKHA, Kini Di iQIYI

Mesej Keimanan Menerusi Drama MIHRAB CINTA ZULAIKHA, Kini Di iQIYI

0
SHARE

KUALA LUMPUR: iQIYI, platform penstriman Asia yang kian popular sekali lagi kembali dengan buah tangan terbaharunya, sebuah drama bersiri istimewa berjudul ‘MIHRAB CINTA ZULAIKHA’ dibintangi oleh barisan pelakon tanah air seperti Elisya Sandha, Azrel Ismail, Scha Elinnea, Johan As’ari, Arash Mohamad, Maria Farida dan adik Raf Iskandar.

Drama bersiri sebanyak 12 episod ini menemui pelanggan iQIYI bermula 17 Mei 2024, jam 9:00 malam.

Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, Jony Deng berkata, iQIYI kini sedang dalam proses memperkukuh kedudukan mereka di pasaran Malaysia dengan menampilkan drama-drama bermutu seperti MIHRAB CINTA ZULAIKHA yang bersesuaian mengikut permintaan penonton masa kini dan sejajar dengan trend isu-isu semasa.

“Drama MIHRAB CINTA ZULAIKHA diinspirasikan dari kejadian dan konflik sebenar dalam masyarakat kita yang menonjolkan kisah percintaan dan juga kekuatan dari segi moral.

“Selain itu, idea di sebalik penghasilan drama ini datangnya dari keinginan untuk meneroka tema-tema yang melibatkan keimanan, percintaan dan pengorbanan yang sering terjadi dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Drama ini mengisahkan tentang Zulaikha (Elisya Sandha), seorang wanita yang tabah, berdikari serta berpegang teguh pada ajaran agama yang bertanggungjawab menguruskan rumah anak yatim namun berdepan masalah kewangan apabila ujian datang menimpa.

Kemunculan Yusof Hakimi (Azrel Ismail) sebagai penyelamat dalam membantu menyelesaikan segala permasalahan di rumah anak yatim membawa kepada lamaran oleh Yusof terhadap Zulaikha.

“Setelah berkahwin, Zulaikha mendapat tahu kehidupan Yusof yang sebenar jauh daripada pegangan agama sepertimana yang disangkakannya.

“Mengeruhkan lagi situasi, Yusof sudah pun mempunyai kekasih. Pelbagai pergolakan yang berlaku ditambah ujian demi ujian menimpa diri Zulaikha, namun mampukah dia bertahan atau berserah pada takdir? Jangan lupa menontonnya di iQIYI,” tambah Jony.

Jelas beliau, setiap drama Original terbitan iQIYI mementingkan mutu penghasilan, jalan cerita yang menarik dan pemilihan pelakon-pelakon yang tepat dalam menjayakan sesuatu watak.

“Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian karakter yang dibawakan dalam drama serta kemampuan mereka untuk menarik perhatian penonton, selain memiliki bakat lakonan yang hebat dalam menghidupkan sesebuah karakter, setiap pelakon mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan mereka unik.

“Drama ini boleh ditonton oleh penonton yang berumur 18 tahun ke atas, manakala penonton di bawah umur 18 tahun tidak digalakkan untuk menonton disebabkandasar konsep drama yang mendalam serta jalan cerita matang.

Menurut faktor umur yang telah disarankan, pihak iQIYI turut meletakan drama ini di senarai drama langganan VIP.

Sebagai sebuah syarikat pemain utama platform penstriman yang unggul, Jony berkata, bahawa iQIYI sedang berusaha menjadi pelopor bidang penyiaran atas talian dengan pengguna aktif bulanannya seramai 500 juta dengan hampir 6 bilion jam hiburan yang memukau setiap bulan.

“Bayangkan dunia di mana penceritaan tidak mengenal batas, di mana setiap bingkai adalah jendela budaya yang meriah dengan kisah yang belum terungkap.

“Jadi, saya berharap drama MIHRAB CINTA ZULAIKHA akan menarik perhatian dan memikat hati penonton melalui kisahnya yang mendalam dan menginspirasikan, dan semoga drama ini tidak hanya memperkayakan pengalaman penonton tetapi juga akan meneroka dan memperluaskan pemahaman mereka tentang kekayaan budaya dan nilai-nilai moral melalui karya asli ini,” tambahnya lagi.