Mutiara GRS Hadir Sokong Kempen Kesedaran Kanser Payudara

Mutiara GRS Hadir Sokong Kempen Kesedaran Kanser Payudara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 1,500 peserta menyertai program 12th Mother’s Day Walk Abreast di Taman Perdana Tanjung Aru anjuran Persatuan Kinabalu Pink Ribbon pada Ahad lalu.

Acara tahunan kali ke-12 itu merupakan kempen amal untuk program kesedaran oleh komuniti kanser payudara dan turut diadakan bersempena Sambutan Hari Ibu. 

Acara telah disempurnakan isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Juliah Salag yang juga Yang Di-Pertua Mutiara GRS.

Pengerusi Penganjur yang juga merupakan salah seorang pesakit kanser dan berjaya disembuhkan Susana kwan, berkata program ini mendapat sokongan yang memberangsangkan setiap tahun daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita akan ada banyak program lain pada masa akan datang dan kita juga akan umumkan kepada orang ramai kerana setiap tahun kita ada banyak program kesedaran mengenai kanser payudara.

“Selain itu, kita juga akan masuk ke kawasan-kawasan pedalaman seperti kampung yang jauh dari bandar untuk kita buat program atau kempen kesedaran seterusnya bantu mereka untuk buat pemeriksaan kesihatan. 

“Sebab kadangkala di kawasan pedalaman mungkin klinik tiada fasiliti yang lengkap atau diperlukan dan juga orang kampung takut untuk buat pemeriksaan. Maka itu, kita bersama beberapa Doktor atau pasukan kesihatan yang menyokong gerakan ini akan masuk dan buat pemeriksaan percuma kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program 12th Mother’s Day Walk Abreast di Taman Perdana Tanjung Aru Ahad lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pink Ribbon, Datin Lucilla Pang berkata, pihaknya sentiasa membantu mereka yang dikesan menghidap kanser payudara.

Ia termasuk memberi sokongan moral kepada mereka yang baru dikesan menghidap kanser.

Selain itu, program bertujuan menyatukan keluarga dengan menyertai acara berjalan kaki sebagai penghormatan kepada semua wanita sempena sambutan Hari Ibu.