INDIA: Mayat seorang gadis ditemukan dalam keadaan menyayat hati dan di percayai dibunuh di dalam premis sebuah masjid berhampiran Pintu Timur Taj Mahal di Agra (Uttar Pradesh) pada petang Ahad lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) City Suraj Rai berkata, ketika jemaah tiba di masjid pada kira-kira 3 petang, mayat gadis separuh bogel itu ditemui terbaring.
Suraj berkata, gadis itu disyaki dibunuh selepas didakwa dirogol.
“Untuk menyembunyikan identiti gadis itu, suspek menghancurkan mukanya dengan menggunakan batu,” katanya.
Tambahnya lagi, gadis itu dibunuh di masjid yang terletak di jalan Nagla-Paima dan dalam bidang kuasa balai polis Tajganj.
Sementara itu, Suraj berkata, identiti gadis itu masih belum dapat dipastikan dan umurnya mungkin dalam lingkungan 25 hingga 26 tahun.
“Pasukan forensik telah mengumpul semua bukti dari tempat kejadian dan seiring itu, sepasukan polis telah dikerahkan untuk mencari pelaku.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga sedang disiasat untuk mencari dan mengenal pasti suspek terlibat,” jelasnya.
Satu kes di bawah bahagian berkaitan IPC telah didaftarkan dan siasatan sedang dijalankan manakala mayat mangsa pula telah dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat.