Yakin, Mesyuarat MA63 Khamis Ini Membuahkan Hasil Positif: Hajiji

Yakin, Mesyuarat MA63 Khamis Ini Membuahkan Hasil Positif: Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Khamis ini akan membuahkan hasil yang positif.

Hajiji berkata, pihaknya berharap agar mesyuarat itu dapat menyelesaikan beberapa isu dalam MA63 yang sekian lama tertunggak. 

“Dalam mesyuarat MA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita berharap sangat kita dapat merungkai dan juga menjayakan beberapa isu di dalamnya. 

“Memang ada lagi isu-isu tertunggak yang perlu diselesaikan dan banyak juga yang telah dilaksanakan, jadi inilah tujuan mesyuarat itu diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai Majlis World Engineering, Science and Technology Congress (ETSCON) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Tambah Hajiji, mana-mana perkara yang belum selesai akan dirunding sebaiknya dengan kerajaan Persekutuan.

“Mana-mana perkara yang belum lagi selesai kita akan runding baik-baik dengan Perdana Menteri, dengan kerajaan Persekutuan supaya dapat dilaksanakan perjanjian yang telah dimeterai itu,” katanya.

Anwar dijadual akan membuat lawatan kerja sehari ke negeri ini termasuk menghadiri Mesyuarat MA63.

Mesyuarat tersebut dijadual akan turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg bersama Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof.