LAHAD DATU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu menahan empat pasangan kekasih kerana didapati berkhalwat dalam satu serbuan ‘Operasi Valentine’, di sekitar bandar Lahad Datu, malam tadi.
Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin berkata, empat pasangan yang bukan suami isteri itu kesemuanya berumur lingkungan 20-an, ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah kerana kesalahan khalwat.
Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Operasi itu dijalankan antara lain bertujuan bagi memastikan masyarakat tidak terlibat dalam perbuatan yang dilihat kearah mendekati perlakuan zina,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya juga, masyarakat khususnya umat Islam adalah diingatkan supaya tidak terjebak dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi perkara-perkara yang mendekati zina, sama ada di tempat tertutup mahupun tempat terbuka.
Turut ditemui ketika operasi tersebut adalah kondom dan ubat kuat dipercayai digunakan oleh pasangan terbabit.
Operasi yang bermula 9.30 malam hingga 3 pagi itu menyasarkan hotel-hotel bajet yang dipercayai digunakan oleh pasangan untuk tujuan maksiat.
Seramai 12 anggota penguat kuasa JHEAINS, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah memeriksa beberapa bilik di empat hotel bajet.
Kesemua pasangan yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.