KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima orang penjawat awam yang berkhidmat di sebuah pusat kesihatan di negeri ini disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bernilai kira-kira RM146,000.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada seorang penolong pegawai perubatan dan empat orang jururawat telah ditahan kira-kira jam 9.40 pagi ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa dari tahun 2020 hingga 2021 sedangkan perkara tersebut tidak dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah ,Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau memberitahu, kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh pada 12 September 2024 (Khamis) di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.