KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendiriannya untuk terus memperkukuh kestabilan politik dan perpaduan antara parti-parti tempatan sebagai asas utama kepada kemajuan dan pembangunan berterusan negeri Sabah.
Dalam suasana politik yang berubah-ubah, PBS kekal yakin bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan platform paling tepat dan berwibawa untuk rakyat Sabah bersatu di bawah satu payung kepimpinan.
Menurut kenyataan rasmi parti itu, kerajaan GRS sepanjang tahun lalu telah membuktikan keupayaan pentadbirannya melalui pencapaian nyata, termasuk pengurusan fiskal yang lebih kukuh dan kemajuan pesat dalam pelaksanaan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerjasama konstruktif antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) telah membawa kepada peningkatan ruang fiskal, peruntukan bajet yang lebih besar, serta perhatian luar biasa terhadap keperluan pembangunan Sabah.
“Pelaksanaan MA63 kini disifatkan jauh lebih cepat dan berkesan berbanding pentadbiran terdahulu,” tegas kenyataan itu.
PBS menegaskan bahawa kestabilan yang dicapai ketika ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting, iaitu membangunkan negeri, menambah hasil negeri, serta memperkukuh rizab kewangan demi manfaat generasi akan datang.
“Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, menurut parti itu, bukanlah tanda kebergantungan, sebaliknya suatu bentuk kerjasama yang berasaskan saling hormat dan perkongsian tanggungjawab.
“Tidak wujud campur tangan dalam urusan negeri, sebaliknya terbentuk satu hubungan sihat yang mengutamakan kebajikan rakyat dan menghormati autonomi Sabah,” tambah kenyataan itu.
Sebagai parti tempatan tertua di Sabah, PBS mengakui telah melalui pelbagai fasa politik daripada kesukaran, kejayaan hingga ke pelbagai pengalaman berharga yang membentuk komitmen mereka terhadap rakyat.
Parti itu menegaskan bahawa konfrontasi keras tidak akan membawa kemajuan, sebaliknya kematangan dalam rundingan, dialog profesional, dan kerjasama ikhlas antara semua pihak yang benar-benar cintakan Sabah adalah kunci kepada kemajuan masa depan.
PBS dalam kenyataannya turut menyeru seluruh rakyat Sabah dan para penyokong parti agar kekal bersatu di bawah panji GRS.
Parti itu menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan di bawah GRS telah membuktikan keikhlasan dan kecekapan pentadbirannya.
“Oleh itu, PBS mengajak rakyat memberi mandat yang kuat dan meyakinkan kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri akan datang agar visi menjadikan Sabah sebuah negeri yang makmur, bermaruah, dan berdikari dapat diteruskan dengan lebih mantap,” jelas kenyataan itu.






