KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani sejak 5 Oktober lalu memasuki hari keempat hari ini namun masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, kedua-dua mangsa seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun dilaporkan menginap di Sutera Mantanani pada 4 Oktober dan sepatutnya mendaftar keluar sehari kemudian, namun gagal berbuat demikian.
Barang-barang peribadi mereka turut ditemui masih berada di dalam bilik penginapan.
Komander Operasi Kanan, PgB Mohd Hafizrul Junaidi berkata, operasi SAR yang dimulakan pada jam 8 pagi hari ini diteruskan bersama pelbagai agensi penyelamat lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Unit K9, Unit Dron dan Pasukan Penyelam (PPDA) dari Zon Kudat dan Zon Kota Kinabalu.
“Operasi hari ini dibahagikan kepada dua pasukan utama. Pasukan A menumpukan pencarian di kawasan darat meliputi hutan dan tepi pantai pulau, manakala Pasukan B menjalankan pencarian di laut, termasuk kawasan coral dan tukun di sekitar tanjung utara Pulau Mantanani,” katanya dalam laporan operasi pagi ini.
Tambah beliau, kawasan pencarian di laut memberi tumpuan di lokasi terakhir penemuan bahan bukti, sepasang cermin mata dipercayai milik salah seorang mangsa yang ditemui di pesisir pantai tanjung utara pulau berkenaan.
Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi kali ini, termasuk 9 anggota dari BBP Kota Belud, 7 dari Unit PPDA Zon Kudat, 6 dari Unit PPDA Zon Kota Kinabalu, serta sokongan 33 anggota PDRM, 6 anggota APMM, 5 anggota APM dan 6 wakil NGO.
Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk memaklumkan bahawa usaha pencarian akan diteruskan dengan pelbagai kaedah, termasuk penggunaan bot dan rondaan pesisir, selain menilai semula kawasan strategik berdasarkan arus laut dan arah angin semasa.
Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai dan operasi akan diteruskan sehingga maklumat baharu diperoleh.






