Warga Akademia Perlu Tingkat Penguasaan Teknologi dan AI Hadapi Cabaran Semasa –...

Warga Akademia Perlu Tingkat Penguasaan Teknologi dan AI Hadapi Cabaran Semasa – Naib Canselor UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Warga akademia diseru untuk memperkukuh penguasaan terhadap teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani cabaran era digital masa kini, khususnya dalam konteks pendidikan tinggi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, AI kini bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan seharian yang memberi kesan langsung terhadap cara manusia bekerja, belajar dan berinteraksi.

“AI kini memainkan peranan penting bukan sahaja dalam bidang penyelidikan dan pentadbiran, malah turut mengubah landskap bilik kuliah serta kaedah penyampaian ilmu. Ia membuka ruang baharu untuk memperkasa pengajaran, penyelidikan dan pembelajaran yang lebih bersifat diperibadikan dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Akademia UMS 2025, anjuran Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA), yang diadakan di Dewan Canselor UMS, di sini, baru-baru ini.

Menurut Prof. Kasim, warga akademia perlu menguasai teknologi AI dengan bijaksana dan beretika agar manfaatnya dapat dirasai oleh pelajar dan masyarakat.

“Sebagai ahli akademik, kita bukan hanya penyampai ilmu, tetapi juga pembentuk pemikiran masa depan. Maka, penguasaan teknologi mesti disertai dengan penerapan nilai moral, etika dan akhlak seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

“Graduan yang berkualiti perlu memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan nilai kemanusiaan supaya mereka menjadi profesional berintegriti serta celik teknologi dan sahsiah,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Minggu Akademia merupakan platform penting bagi menilai dan memperkukuh peranan ahli akademik dalam mencorak masa depan pendidikan tinggi negara, di samping menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam pembangunan keilmuan.

“Tarikh 5 Oktober setiap tahun menjadi hari istimewa untuk seluruh warga akademia, sebagai simbol penghargaan terhadap dedikasi mereka dalam memperkasa pendidikan tinggi negara ke tahap global,” katanya.

Tema penganjuran tahun ini, “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi”, katanya, amat bertepatan dengan tuntutan semasa yang menekankan keperluan ketangkasan intelektual, kepimpinan berwibawa dan inovasi berterusan.