KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Sawit Kinabalu melancarkan minyak masak jenama Sabah sendiri, “Sayang”, yang merupakan satu inisiatif untuk membuat komoditi itu lebih mudah diakses dan mampu dimiliki rakyat.
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan rakyat memandangkan kekurangan bekalan minyak masak dan harga tinggi sejak kebelakangan ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu pada majlis pelancaran produk itu di Anjung Selera, Likas dekat sini hari ini.
“Ini adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendapatkan minyak masak mampu milik,” katanya…
Minyak masak Sayang dikeluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).
Sayang terdapat dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg, minyak masak berkualiti tinggi harganya jauh lebih murah berbanding jenama minyak masak tanpa subsidi lain di pasaran.
Harga minyak masak tanpa subsidi (2kg) ialah RM13.20 manakala RM31.00 untuk botol 5kg. Harga minyak masak bersubsidi adalah standard iaitu RM2.50 sekilogram.
Hajiji berkata kapasiti pengeluaran bulanan Sawit ialah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi dan 100 tan untuk minyak masak tanpa subsidi.
“Saya harap ini dapat menghapuskan isu kekurangan minyak masak di pasaran,” katanya sambil menambah bahawa minyak masak itu akan disediakan di seluruh Sabah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie berkata KEOSB akan bekerjasama dengan syarikat tempatan seperti Pasar Raya Sthamin dan beberapa lagi ejen pemasaran yang akan dilantik untuk memasarkan minyak masak tersebut.
“Sawit Kinabalu melalui anak syarikat lain, Kunak Refinery Sdn Bhd juga akan membekalkan minyak masak bersubsidi (peket 1kg) kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri mengadakan ‘walkabout’ untuk menyambut dan mengedarkan minyak masak sayang kepada penjaja makanan yang beroperasi di Anjung Selera.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang, Setiausaha Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pengurus Besar Sedcovest Holdings Amir Karim, Pengarah Urusan Sthamin, Busthamin Haji Paita dan ahli-ahli lembaga kumpulan Sawit Kinabalu .