Warga Asing Serah Diri, Guna Ekor Pari Dalam Kes Cedera di Tawau

Warga Asing Serah Diri, Guna Ekor Pari Dalam Kes Cedera di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing bertindak menyerah diri kepada polis selepas dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan objek berbahaya dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu hadir sendiri ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan kira-kira jam 5.20 petang sebelum mengaku terlibat dalam insiden berkenaan.

Menurutnya, suspek turut menyerahkan satu objek berbentuk ekor pari yang dipercayai digunakan semasa kejadian kepada pihak polis sebelum tangkapan dan rampasan dibuat bagi membantu siasatan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. Hasil soal siasat awal mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes berkaitan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.