DO, PRESIDEN MAJLIS PERBANDARAN LAKSANA AMANAH PENUH INTEGRITI, KETELUSAN

DO, PRESIDEN MAJLIS PERBANDARAN LAKSANA AMANAH PENUH INTEGRITI, KETELUSAN

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim melakukan gimik perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-27 Tahun 2024 di Grand Ballroom, Shangri-La Rasa Ria, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan Pegawai Daerah (DO), Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Presiden Majlis Perbandaran agar melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti dan ketelusan, khususnya melibatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.

Katanya, mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil
rakyat kerajaan dan memaklumkan mereka tentang projek pembangunan untuk rakyat yang telah diluluskan oleh kerajaan megeri dan Persekutuan di kawasan masing-masing.

“DO merupakan pegawai yang amat penting di daerah, perlu memberikan kerjasama kepada wakil rakyat kerajaan dan jangan “tapuk” (sembunyikan) maklumat terutama projek pembangunan kerajaan.

“Wakil rakyat mungkin tahu dan maklum tentang projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen. Tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu.

“Saya juga telah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya memaklumkan kepada wakil rakyat projek dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka.

“Ini kerana saya menerima aduan daripada wakil Rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-27, Tahun 2024 di Grand Ballroom, Shangri-La Rasa Ria, di sini, hari ini.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai di beberapa daerah negeri ini berhubung ketidaktelusan atau integriti dikalangan DO, ADO dan pegawai jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek kecil untuk rakyat yang amat penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

“Justeru saya berharap DO dan ADO mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada aspek integriti dan ketelusan. Apa yang penting ialah kita permudahkan urusan mengenai pelaksanan projek kecil, kerana rakyat amat memerlukan. Sebagai pegawai yang setiap masa berada di bawah, rakyat perhatikan kita.

“Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program kerajaan di daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima ialah wakil rakyat dan juga kerajaan kerana rakyat akan kritik wakil rakyat dan kerajaan.

“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita. Jangan kita lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek kecil, tetapi pengeluaran esen dan sebagainya, kerana ini adalah soal kehidupan rakyat,” katanya.