KOTA KINABALU: Langkah politik mengejutkan berlaku apabila bekas ADUN Silam, Dumi Pg Masdal dilaporkan telah meletakkan jawatan dalam Warisan di bahagian Lahad Datu, dan kini menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkembangan itu dikongsi Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Ismail Sabran menerusi hantaran di Facebook, yang turut memuat naik gambar memperlihatkan Dumi duduk semeja bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika menghadiri Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Perdana, di Lahad Datu, semalam.
Menurut Ismail, yang juga bekas Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Dumi sebelum ini memaklumkan telah melepaskan jawatan dalam parti dan mengambil keputusan menyokong kepimpinan Hajiji di bawah GRS.
“…memilih untuk menyokong GRS di bawah kepimpinan YAB DSP Hajiji Haji Noor,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Dumi dalam hantaran berasingan tidak menyentuh secara langsung soal peralihan sokongan politik, sebaliknya menzahirkan penghargaan atas jemputan ke majlis itu.
Beliau menyifatkan majlis itu sebagai platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain mengeratkan silaturrahim.
“Majlis seperti ini bukan sahaja menjadi medan meraikan Syawal, malah menjadi jambatan yang mengeratkan silaturrahim,” katanya.
Langkah Dumi dilihat berpotensi memberi kesan kepada landskap politik di Lahad Datu, khususnya membabitkan sokongan akar umbi terhadap Parti Warisan yang sebelum ini mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.






