
BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, YB Hj. Ruslan Muharam menggesa Jabatan Hidupan Liar menangkap buaya-buaya yang terdapat di Sungai Gadong Laut Bintuka.
“Penangkapan berkenaan perlu dipandang serius dan dilakukan dengan kadar segera…
“Semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah ini sebelum lebih ramai lagi penduduk kampung menjadi mangsa,” kata Ruslan.
Arahan itu dikeluarkan selepas seorang penduduk kampung Kasturi Alang, 54, diserang buaya pada jam 4 petang Jumaat sewaktu beliau keluar mencari siput.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan bahu kanan yang memerlukan 17 jahitan.
Ruslan yang mengunjung rumah Kasturi kelmarin berkata mangsa dalam keadaan yang stabil.
“Sungai Gadong Laut Bintuka adalah sumber ekonomi penduduk kampung mendapatkan hasil-hasil makanan laut seperti siput, ikan, lokan, ketam dan udang…
“Namun demikian, saya ingin menasihati penduduk kampung supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai,” beliau berkata.