G57 Sokong Cadangan Panggil Hajiji Beri Keterangan

G57 Sokong Cadangan Panggil Hajiji Beri Keterangan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyambut baik cadangan Chin Tek Ming untuk memanggil Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi memberikan keterangan dalam kes saman melibatkan Sabah Mineral Management (SMM) dan Jontih Enggihon.

Menurut Chin, yang juga pemimpin Parti Warisan Sabah serta peguam kepada Jontih, lebih 20 individu, termasuk Hajiji dan para Ahli Dewan Undangan Negeri dijangka dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, menegaskan bahawa pihaknya percaya Hajiji dan ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk tampil ke mahkamah bagi membersihkan nama mereka serta membuktikan salah laku Jontih.

“G57 yakin bahawa SMM mempunyai bukti kukuh mengenai salah laku yang berlaku ketika Jontih menjawat jawatan CEO SMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa bahawa pakatan perniagaan yang dikenali sebagai “kartel mineral Sabah” termasuk Jontih dan Datuk Albert Tei, akhirnya akan terdedah.

Dalam masa yang sama, G57 berharap pasukan peguam SMM dapat menyoal Jontih dan Albert mengenai dakwaan cubaan rasuah bernilai jutaan ringgit terhadap Hajiji bagi mendapatkan kelulusan kontrak mineral, yang didakwa telah ditolak oleh Ketua Menteri Sabah.