KOTA KINABALU, SABAH – Ceramah Perdana Khas Untuk Penjawat Awam akan diadakan sempena menyambut ketibaan Hari Sabah.
Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Leonard Stephen Poyong berkata, ceramah tersebut diadakan untuk mengupas latar belakang sejarah kemerdekaan negeri Sabah.
“Ceramah Perdana Khas akan diadakan pada 29 Ogos ini di Menara Kinabalu yang akan disampaikan oleh tiga penceramah hebat kita berkaitan sejarah Sabah iaitu Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan bersama-sama Professor Dr. Danny Wong sejarawan negeri Sabah dan juga Dr. Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Mereka akan memberikan penerangan tentang sejarah kemerdekaan negeri Sabah dari pelbagai sudut tentang hari kemerdekaan.
“Kita jangkakan ceramah ini akan dihadiri oleh seramai 1,200 orang penjawat awam negeri dan persekutuan agar mereka mengetahui lebih mendalam sejarah negeri Sabah, “katanya ketika ditemui media di Konti KUPI-KUPI FM ketika menjadi tamu mempromosikan Sambutan Hari Sabah 2024 pada Jumaat.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bermula 24 haribulan akan diadakan pelbagai acara menarik antaranya Tamu Hari Sabah di Padang Merdeka dengan menyajikan pelbagai gerai-gerai jualan.
“Kita turut membuka reruai dengan mempamerkan dokumen-dokumen sejarah tuntutan kemerdekaan dan liku-liku negeri Sabah mencapai kemerdekaan.
“Terdapat juga reruai daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang membolehkan kita membayar kompaun-kompaun dan saya percaya pada hari tersebut kita boleh dapat diskaun-diskaun yang istimewa.
“Bermula 24 Ogos ini juga, ‘Larian Hari Sabah’ akan berlepas dari empat sudut negeri Sabah iaitu Kalabakan, Pensiangan, Kudat dan Labuan yang mana pelari-pelari ini semua akan berlari menuju ke bandaraya Kota Kinabalu dan akan sampai pada 30 Ogos.
“Pada 31 Ogos mereka secara serentak berlari menuju ke Padang Merdeka bersama-sama menyambut Hari Sabah, “katanya.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat (BMKK), Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Dr. Diana Dominic dan Penolong Pengarah BMKK, JaPen Sabah, Siti Mariam Aziz Rashid. — JABATAN PENERANGAN SABAH