KMJG Inisiatif Baik Hidupkan Rasa Kemerdekaan-Jasnih

KMJG Inisiatif Baik Hidupkan Rasa Kemerdekaan-Jasnih

0
SHARE
Kmjg
Jasnih (kiri) melepaskan konvoi ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) adalah inisiatif yang baik untuk menghidupkan rasa kemerdekaan dalam sanubari rakyat Sabah khususnya.

Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya berkata program KMJG adalah program yang berlangsung setiap tahun dan berharap sambutannya lebih meriah pada tahun ini.

“Tahun lepas juga saya ingat cukup meriah, tahun ini kita harapkan lebih meriah daripada tahun lepas kerana disekalikan dengan perayaan Hari Sabah.

“Kita berbangga sebab tahun ini kita juga kita melancarkan untuk tahun pertama Hari Sabah yang bakal dirayakan pada bulan ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Dalit semasa ditemui media selepas merasmikan Program KMJG di Astaka Padang Pekan Tuaran.

Jasnih turut melengkapkan lukisan mural Jiwa Merdeka Tuaran yang dihasilkan oleh pereka Jabatan Penerangan Sabah dengan kerjasama Nippon Paint.

Beliau turut mengingatkan agar setiap lapisan masyarakat sama ada kerajaan ataupun swasta mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah.

“Memang setiap tahun kita mengharapkan supaya setiap penduduk yang berkesempatan untuk mengibarkan bendera untuk rumah masing-masing atau bangunan yang ada tidak kiralah bangunan kerajaan ataupun bangunan swasta.

“Semangat kecintaan untuk negara itu perlu ada dan seharusnya setiap penduduk yang tinggal di Malaysia tidak semestinya orang Malaysia pun walaupun orang luar kibarkanlah Jalur Gemilang dan bendera Sabah supaya kita dapat rasakan suasana kemerdekaan itu dan seterusnya menghargai nilai kemerdekaan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut Penolong Pegawai Daerah Hannevy W. Harry dan Pengarah Penerangan Sabah yang juga selaku ketua konvoi Jainisah Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH