Penerima Sinovac Tetap Perlu Dapatkan Dos Penggalak Sebelum 1 Mac Ini

Penerima Sinovac Tetap Perlu Dapatkan Dos Penggalak Sebelum 1 Mac Ini

0
SHARE

BATU PAHAT, JOHOR BAHRU –  Penerima vaksin jenis Sinovac tetap perlu mendapatkan suntikan penggalak masing-masing untuk memastikan mereka mendapat status lengkap vaksin sebelum 1 Mac depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dipetik laporan BH berkata, kementerian menerima apa sahaja pandangan yang diberikan pelbagai pihak berkaitan mengenai perkara berkenaan.

“Tidak mengapa, itu adalah pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita ambil maklum,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini, semalam.

Tedahulu pada Jumaat, Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, persatuan berkenaan berpandangan mereka yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin Sinovac masih dikategorikan sebagai telah lengkap divaksinasi.

Khairy berkata perkara berkenaan telah menjadi dasar Kementerian Kesihatan sejak awal dan pihaknya percaya ia harus dikekalkan.

Khairy juga berkata beliau mengakui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada paksaan bagi ibu bapa mengambil vaksin kepada anak-anak mereka termasuk kepada golongan dewasa.

“Apa PM kata memang betul. Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) atau mana-mana vaksin tidak pernah diwajibkan cuma bagi orang dewasa kalau tidak dapat vaksin penuh akan ada beberapa kemudahan tak dapat dilakukan atau tak boleh pergi tempat tertentu misalnya…

“Tetapi kaedah berkenaan bukan di Malaysia sahaja, di negara lain kalau nak melancong juga ada yang letak syarat vaksin dan sebagainya. Kita bukan satu-satu negara yang bagi kebebasan kepada mereka yang divaksin penuh.

“Untuk kanak-kanak dan remaja kita tiada apa-apa syarat, contoh kalau dewasa nak pergi kedai makan mesti vaksin penuh tetapi kalau anak dia remaja atau kanak-kanak tak perlu,” katanya.