PUTATAN: Ahli parti politik perlu mematuhi budi bicara presiden masing-masing dalam pengumuman calon PRN, kata Ketua Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas, Mohd Isquzawan Israq Mohd Arsit.
Beliau menegur segelintir ahli yang mendahului ketua dengan mengisytiharkan diri sebagai calon sebelum pengumuman rasmi presiden.
“Ahli perlu menghormati perlembagaan parti dan tidak melanggarnya. Pengumuman calon sepatutnya dibuat oleh presiden atau wakil yang dilantik,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Dart Belia Putatan di Kampung Ulu, Putatan, Sabtu lalu.
Mohd Isquzawan berkata tindakan sedemikian boleh mengelirukan rakyat, sambil menegaskan maklumat calon mesti diperoleh daripada sumber sahih bagi mengelak kekeliruan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah, pada sidang media Isnin lalu (6 Oktober) telah mengumumkan dirinya sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan berkenaan.
Mohd Isquzawan turut berharap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menampilkan lebih ramai calon muda dan wanita memandangkan lebih 55 peratus pengundi layak pada PRN kali ini ialah golongan muda.
“Saya yakin Pengerusi GRS akan memastikan keseimbangan calon berdasarkan kesesuaian dan kemampuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kejohanan dart anjuran Gagasan Rakyat Petagas dengan kerjasama Putatan Youth Power Club turut membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan serta memupuk semangat kebersamaan masyarakat.






