KOTA KINABALU, SABAH – Kenyataan Chan Foong Hin melalui satu wawancara yang disiarkan di Facebook pada Isnin lalu jelas menunjukkan beliau tidak mementingkan kepentingan rakyat Sabah dan hanya tunduk dengan alasan semenanjung terutama sekali dengan “bos” beliau sendiri.
Chan meminta rakyat Sabah agar mempertimbangkan perasaan negeri-negeri semenanjung adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat Sabah.
Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat di Sabah.
Beliau langsung tidak memikirkan perasaan rakyat Sabah yang telah lama dahagakan pembangunan dan kesaksamaan ekonomi.
Mentaliti sebegini menunjukkan bahawa beliau tidak patut lagi mewakili rakyat di sini kerana tidak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negeri Sabah.
Beliau mengajak rakyat Sabah memikirkan apa yang difikirkan oleh orang di Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh apabila Sabah minta 40% hak minyak yang pada beliau akan menyinggung perasaan mereka.
Namun beliau lupa bahawa kedua-dua negeri tersebut jauh lebih membangun berbanding negeri Sabah.
Purata pendapatan isi rumah di Selangor dan Pulau Pinang adalah RM8,210 dan RM6,169 manakala Sabah hanya RM4,235.
Dengan jurang sebesar ini, Chan lebih mementingkan perasaan mereka dari rakyat diwakilinya?
Chan harus ingat bahawa perkara yang dituntut ini adalah sebahagian dari perjanjian asal pembentukan Malaysia pada 1963.
Jika ia tidak dituntut, maka dimana kesaksamaan yang dijanjikan kepada Sabah? Sampai bila pemimpin Sabah seperti Chan tidak mahu memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan hampir 60 tahun?
Jelas menunjukkan Chan tidak mempunyai sifat mengutamakan Sabah dan tidak menyayangi Sabah.
Dulu janji nak pulangkan 20% hak minyak dan 50% cukai yang dikutip, tapi 22 bulan PH menjadi kerajaan, pelbagai alasan diberikan untuk tidak melunaskan janji tersebut.
Chan seharusnya berasa malu dengan kegagalan tersebut…
Amatlah memalukan dan mendukacitakan apabila seorang pemimpin Sabah sendiri menidakkan perjuangan hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Kebersamaan negeri Sabah dalam pembentukan Malaysia amat utuh hingga kini dan tidak perlu dipertikaikan.
Begitu juga apabila Sabah menuntut hak-hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, juga tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Justeru, saya menyeru agar rakyat Sabah memilih dengan akal fikiran yang matang dan melihat hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus diperjuangkan dan dimartabatkan seperti yang sepatutnya.





