JEDDAH, ARAB SAUDI – Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa negeri itu telah meluluskan DUA (2) lagiĀ vaksin COVID-19, iaitu Sinovac dan Sinopharm.
Ini bermaksud, individu yang telah melengkapkan dos vaksinasi Sinovac dan Sinopharm akan diterima masuk ke negara itu dengan syarat individu itu setuju untuk menerima lagi dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.
Setakat ini, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan EMPAT (4) vaksin untuk digunakan di negara itu iaitu Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson, dan Moderna.
Sebelum ini, Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa individu juga boleh menerima dua dos vaksin berlainan, berdasarkan kajian saintifik yang menunjukkan kaedah itu berkesan untuk mengekang penularan COVID-19.

Dalam pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut melaporkan kira-kira 62.05 peratus (62.05%) populasi negara itu sudah menerima dos pertama, manakala 37.7 peratus (37.7%) sudah menerima dos kedua.