Wujud Lagi 3 Kluster Baharu Di Sabah, Kes Baharu Positif COVID-19 Turut...

Wujud Lagi 3 Kluster Baharu Di Sabah, Kes Baharu Positif COVID-19 Turut Meningkat

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada Sabtu (12 Jun) adalah sebanyak 378 KES, iaitu terdapat peningkatan sebanyak 69 kes daripada 309 kes pada Jumaat.

Jurucakap COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat lagi TIGA (3) kluster baharu dikesan.

‘Kluster Ambar Park’ di Tawau direkodkan di Mukim Sri Tanjung melalui saringan selepas terdapat kes kematian pada 1 Jun.

“Kluster indeks seorang warganegara lelaki, 71. Susulan kes itu, 45 kontak rapat telah disaring dan mengesan 15 lagi kes positif COVID-19 yang turut melibatkan kes jangkitan kontak keluarga generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes…

“Berdasarkan maklumat, dianggarkan lebih 50 ahli keluarga dan kontak sosial telah menziarahi kes indeks untuk majlis doa selamat di rumah kes indeks, di Kg Kadazan, Ambar Park,” kata beliau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 12 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

‘Kluster Indah’ di Nabawan berkaitan majlis pertunangan di Kampung Indah pada 20 Mei malah penularan wabak COVID-19 dalam kluster ini melibatkan generasi kedua.

“Kes indeks merupakan warganegara, wanita, 34, yang dikesan positif melalui saringan prarawatan pada 22 Mei namun tidak menunjukkan sebarang gejala…

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 124 kontak menemukan 20 lagi kes positif dan merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 21 kes.

“Berdasarkan penelitian, kes indeks berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti,” jelasnya.

‘Kluster Kampung Baru’ di Sipitang melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim, Sindumin.

“Kes indeks adalah warganegara, lelaki, 58, disahkan positif pada 26 Mei, selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada anak buahnya…

“Kes indeks juga mengalami simptom batuk, sakit kepala dan ‘malaise’ sejak 23 Mei serta mempunyai sejarah pergerakan ke luar daerah iaitu ke Keningau seminggu sebelum.

“Hasil pengesanan dan saringan kontak yang melibatkan kaitan epidemiologi sama iaitu menghadiri rumah ibadat di SFI, 23 kes positif COVID-19 dicatat termasuk penambahan 13 kes baharu pada hari ini,” kata Masidi.

Dalam pada itu, Sebanyak 77 kompaun melanggar SOP COVID-19 telah dikeluarkan seluruh Sabah dan LIMA (5) kes kematian juga direkodkan masing-masing di daerah Tawau, Semporna, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Putatan.