Hari ke-7 SAR Pelancong China Hilang di Pulau Mantanani, Belum Temui Petunjuk

Hari ke-7 SAR Pelancong China Hilang di Pulau Mantanani, Belum Temui Petunjuk

0
SHARE

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, Kota Belud memasuki hari ketujuh hari ini, namun masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.

Menurut kenyataan rasmi Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, operasi yang diketuai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama pelbagai agensi penyelamat lain ditamatkan pada jam 11.30 pagi tadi selepas penilaian menyeluruh dijalankan di lokasi.

“Sehingga hari ketujuh, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR ditamatkan sehingga mendapat petunjuk baharu. Walau bagaimanapun, rondaan berkala diteruskan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi pemantauan berterusan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, insiden itu dilaporkan selepas Balai Polis Kota Belud memaklumkan kepada pihak bomba mengenai kehilangan dua pelancong warga China ,seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun yang menginap di Sutera Mantanani pada 4 Oktober 2025.

Kedua-dua mangsa sepatutnya mendaftar keluar pada 5 Oktober 2025, namun tidak berbuat demikian. Barang-barang peribadi mereka didapati masih berada di dalam bilik penginapan, mencetuskan laporan kehilangan.

Pasukan penyelamat telah melaksanakan operasi SAR secara menyeluruh meliputi kawasan persisiran pantai dan perairan sekitar Pulau Mantanani, menggunakan kaedah Water Surface Search melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta penduduk kampung.

Operasi diketuai oleh Komander Operasi Kanan PgB Mohd Hafizrul Junaidi bersama PKPgB Mohd Razali Ahmad @ Awang Ahmad dan PPgB Elge Bakuk, dengan kekuatan keseluruhan 28 anggota.

Turut terlibat ialah, Unit Penyelam PPDA Zon Kudat (7 anggota), Unit PPDA Zon Kota Kinabalu (6 anggota) dan Unit Dron (2 anggota).

Operasi turut mendapat bantuan daripada 52 anggota PDRM, 15 anggota APM, dan beberapa orang penduduk tempatan yang mengenali kawasan sekitar.

“Pasukan penyelamat menggunakan pelbagai aset termasuk empat kenderaan pacuan empat roda (VIGO) dan dua van URVAN bagi menyelaras logistik sepanjang operasi dijalankan,” jelas kenyataan JBPM Sabah.

JBPM menegaskan bahawa walaupun operasi rasmi ditamatkan sementara, pihak APMM akan meneruskan rondaan pemantauan berkala di perairan Mantanani bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikesan dengan segera.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kedua-dua pelancong tersebut diminta menghubungi Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk di talian 017-6015922.