KOTA KINABALU: Seramai 207 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan warganegara Indonesia dan Filipina dipulangkan ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Khamis selepas selesai menjalani hukuman.
Daripada jumlah itu, seramai 192 orang merupakan warganegara Indonesia manakala 15 lagi adalah warganegara Filipina, melibatkan tahanan dari depot-depot imigresen di seluruh negeri.
Menurut JIM Sabah, kesemua tahanan yang dipindahkan berumur antara satu bulan hingga 63 tahun dan masing-masing diiringi penjaga yang sah, selain telah dilengkapi dokumen perjalanan yang sah sebelum dihantar pulang.
Dalam siri pemindahan itu, ia turut melibatkan 134 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.
“Tahanan yang telah selesai menjalani hukuman penjara dikeluarkan dengan dokumen perjalanan yang sah dan diperuntukkan untuk dipindahkan ke negara asal,” menurut kenyataan JIM Sabah, semalam.
Tambah kenyataan itu, kesemua PATI berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki negara tanpa pas atau permit sah selain tinggal lebih masa.
Sehingga kini, JIM Sabah memaklumkan seramai 2,030 warga asing telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk negeri ini.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan,” tegas JIM Sabah.
Pada masa sama, tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang melanggar syarat pas ditetapkan.






