KOTA KINABALU: Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong menegaskan bahawa kejayaan dan kekuatan parti hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan serta sumbangan besar pemimpin veteran yang menjadi tulang belakang sejak awal penubuhan parti.
Beliau berkata, generasi muda kini memikul tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan tersebut dengan penuh semangat dan kesedaran bahawa politik bukanlah pertandingan individu, sebaliknya usaha berpasukan yang memerlukan kepercayaan dan kesinambungan antara generasi.
“Setiap generasi mempunyai misi dan peranannya. Generasi perintis telah menetapkan asas perjuangan, manakala generasi muda mesti membawa obor itu ke hadapan demi memastikan DAP terus berkhidmat untuk rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Vivian menegaskan bahawa pembaharuan dalam parti tidak bermaksud menggantikan yang lama dengan yang muda, sebaliknya menggabungkan pengalaman dan inovasi untuk memperkukuh kekuatan organisasi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe atas kepimpinan dinamiknya dalam memperkukuh semangat perpaduan dalam parti.
“DAP bukan milik mana-mana individu, tetapi milik semua yang percaya kepada demokrasi, keadilan, dan kepelbagaian.
“Fokus kita sekarang ialah untuk kekal bersatu, memperkukuh asas perjuangan, dan menambat keyakinan rakyat menjelang pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Semalam, bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung mengumumkan peletakan jawatannya dan keputusannya meninggalkan parti, bersama dengan bekas Setiausaha Negeri, Liau Fui Fui, serta dua cawangan bawah pimpinan mereka.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyatakan keputusan itu dibuat setelah menilai perkembangan dalaman parti, termasuk dakwaan “tindakan tersirat” yang mencadangkan agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan cawangan Tanjung Papat tanpa rundingan formal.
Mereka juga mendakwa bahawa DAP Sabah kini lebih memfokuskan kepada kepimpinan muda sehingga mengabaikan peranan pemimpin veteran yang telah banyak berkorban untuk parti.






