KOTA KINABALU: Empat individu cedera manakala tiga lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan Toyota Hilux dan Perodua Axia di Kampung Tombongon, Jalan Kokol, Menggatal, hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 1.29 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian sejauh 21 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Yohanes Sipin berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 1.47 petang, pasukan bomba mendapati kesemua sembilan mangsa telah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Daripada sembilan mangsa, empat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan jentera EMRS dan ambulans, dua hanya mengalami kecederaan ringan, manakala tiga lagi tidak cedera,” katanya.
Pasukan bomba bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal di lokasi sebelum semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran.
Operasi penyelamatan dijalankan oleh 11 anggota dari BBP Lintas menggunakan satu jentera FRT dan satu EMRS, dengan bantuan anggota KKM dan PDRM.
Setelah memastikan tiada lagi risiko bahaya di tempat kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 petang.






