KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa Parti Warisan gagal mempertahankan hak Sabah ketika mentadbir negeri antara tahun 2018 hingga 2020, khususnya dalam isu tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semasa era pentadbiran Warisan, keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri Sabah pada 16 Oktober 2019 jelas menunjukkan kelemahan dan kegagalan parti itu dalam memperjuangkan kepentingan negeri.
“Warisan menyifatkan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan MA63 selama berpuluh tahun, namun apabila berkuasa, mereka sendiri bersetuju menerima kadar kenaikan Pemberian Khas daripada RM26.7 juta kepada hanya RM53.4 juta, jumlah yang amat kecil selepas lebih 45 tahun tanpa semakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu menggambarkan Warisan bukanlah parti yang boleh dipercayai sebagai ‘penyelamat Sabah’, malah tindakan mereka bersetuju dengan kadar yang begitu rendah disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap hak negeri dan rakyat Sabah.
Menurut Armizan, keputusan berkenaan disahkan melalui surat rasmi Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 18 Oktober 2019, yang memaklumkan persetujuan Kabinet Negeri Warisan menerima kadar tersebut.
Selepas pertukaran kerajaan pada September 2020, katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor segera mengambil langkah untuk memperbetulkan keputusan tersebut dengan mengemukakan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 7 Disember 2020 bagi menarik balik persetujuan kerajaan Warisan.
Melalui rundingan semula, Kerajaan GRS berjaya menaikkan kadar Pemberian Khas kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
Apabila Kerajaan Madani dibentuk di peringkat Persekutuan pada penghujung tahun yang sama, GRS meneruskan rundingan dengan hasil positif kadar pemberian khas itu dinaikkan lagi kepada RM300 juta pada tahun 2023, RM306 juta pada tahun 2024, dan kini meningkat kepada RM600 juta bermula tahun 2025.
“Kenaikan ini merupakan pengaturan interim (interim arrangement) dan tidak menjejaskan hak Sabah untuk terus menuntut formula 40 peratus hasil seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” jelas Armizan.
Dalam kenyataannya, beliau turut mencabar Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, untuk menjelaskan beberapa perkara penting kepada rakyat Sabah termasuklah, apakah asas kepada persetujuan Kabinet Sabah menerima hanya kadar RM53.4 juta pada mesyuarat 16 Oktober 2019? dan;
“Mengapa Warisan tunduk dan tidak menuntut kadar yang lebih munasabah, sedangkan parti itu ketika itu mempunyai tiga Menteri Penuh dan dua Timbalan Menteri dalam Kerajaan Persekutuan, serta ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad?
“Jika benar Warisan mendakwa mereka ‘menyelamatkan Sabah’, mengapa mereka sendiri memilih untuk berdiam diri dan menerima kadar yang tidak adil kepada negeri?” soal beliau.
Armizan menegaskan, berdasarkan rekod dan fakta tersebut, rakyat kini perlu menilai dengan bijak menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
“Melihat kepada contoh ini, persoalannya bukan lagi ‘Warisan Selamatkan Sabah’, tetapi adakah sudah tiba masanya untuk kita selamatkan Sabah daripada Warisan,” tegas beliau.






