Sabah Terus Pertahan Perpaduan Sebagai Teras Pembangunan Negeri – Hajiji

Sabah Terus Pertahan Perpaduan Sebagai Teras Pembangunan Negeri – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memastikan perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan terus menjadi asas utama kepada pembangunan negeri demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pelbagai program berteraskan perpaduan yang mampu menghimpunkan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang bagi memperkukuh hubungan antara komuniti.

Beliau berkata, Sabah juga mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kemampanan sebagai asas penting dalam memperkukuh perpaduan serta kemakmuran bersama.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan aspek perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan negeri.

“Kita juga turut mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya ketika berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan peringkat kebangsaan tahun ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri itu, selain menjadi pengiktirafan terhadap budaya kehidupan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai warisan turun-temurun.

Beliau berkata, nilai perpaduan yang diamalkan rakyat Sabah merupakan antara sumbangan terbesar negeri itu dalam usaha pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung dan Sarawak bersama-sama di sini, bukan hanya sebagai tetamu, tetapi juga sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengajak seluruh rakyat untuk mentafsir semula makna perpaduan dalam menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

Beliau menegaskan perpaduan sebenar tidak boleh lagi diukur sekadar melalui budi bahasa atau toleransi yang pasif, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi tindakan nyata, komitmen berterusan, keikhlasan serta penghormatan antara satu sama lain.

“Perpaduan yang tulen menuntut tindakan yang nyata, komitmen yang berterusan, keikhlasan, rasa saling menghormati dan yang paling utama ialah terjaminnya keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah.

“Sesebuah institusi keluarga, apatah lagi sebuah negara bangsa besar yang bersifat majmuk seperti Malaysia, hanya akan benar-benar utuh apabila setiap ahlinya dan setiap negeri serta wilayah merasakan diri mereka dihargai, dilindungi dan dibangunkan secara adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata, semangat kekitaan dan kebersamaan yang tulen perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian serta kemakmuran negara dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Sehubungan itu, Hajiji menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang menjadi identiti unik negeri ini.

“Dengan semangat kerjasama yang jitu, sudah pasti fokus kepada perpaduan dan pembangunan akan dapat dijayakan dengan lebih mudah melalui kesepakatan sosial dan iltizam politik yang melibatkan semua pihak.

“Marilah kita terus mempereratkan komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, memperkukuh perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita warisi hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.