Sikap dan Usaha Penentu Kejayaan, Bukan Latar Belakang – Victor

Sikap dan Usaha Penentu Kejayaan, Bukan Latar Belakang – Victor

0
SHARE

TAMBUNAN: Kejayaan dalam akademik tidak ditentukan oleh asal usul, sebaliknya bergantung kepada sikap, usaha dan komitmen tinggi, kata Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.

Beliau menegaskan bahawa majlis apresiasi bukan sekadar penyampaian sijil, tetapi simbol pengiktirafan terhadap usaha pelajar serta kepentingan pendidikan sebagai kunci mengubah kehidupan.

Majlis seperti ini bukan sekadar untuk kita menyampaikan sijil atau penghargaan. Lebih daripada itu, ia adalah simbol pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan anak-anak Tambunan.

“Kita mahu menghantar mesej bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah kehidupan,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Dewan Masyarakat Tambunan pada Sabtu.

Victor berkata pelaburan terbaik adalah dalam pendidikan kerana modal insan berkualiti merupakan aset paling berharga untuk masa depan daerah.

“Bangunan boleh dibina tetapi modal insan yang berkualiti adalah aset yang paling berharga,” katanya sambil menyifatkan pelajar sebagai bakal pemimpin masa depan.

Beliau turut mengingatkan pelajar luar bandar agar tidak menghadkan impian, selain menghargai pengorbanan ibu bapa dan jasa guru dalam membentuk kejayaan pelajar.

“Gunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu keluarga, membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada negeri Sabah. Apabila anda berjaya nanti, jangan lupa kampung halaman,” ujarnya.

Tambahnya, PGRS akan terus menyokong pembangunan pendidikan bagi memastikan pelajar Tambunan tidak ketinggalan dan mempunyai peluang sama untuk berjaya.