
KOTA KINABALU, SABAH – Pemasangan lebih 70 sistem Digital AgTech di negeri ini menjadikan Sabah sebagai penerima manfaat terbesar inisiatif tersebut.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, Malaysia Digital (MD) Agriculture Technology (AgTech) telah melaksanakan lebih 500 sistem MD AgTech dan melatih lebih 30,000 usahawan tani dari seluruh negara ke arah pemangkin transformasi digital dalam sektor pertanian.
“Inisiatif sistem Malaysia Digital (MD) AgTech ini juga mengandungi elemen teknologi terkini dan berpotensi membuahkan hasil yang menguntungkan, sekali gus mampu menjadi daya penarik bagi golongan belia melibatkan diri dalam sektor pertanian.
“Saya berharap usaha ini dapat diperluaskan kepada pekebun-pekebun kecil bagi komoditi seperti sawit, getah, koko dan lada supaya mereka turut sama menerima manfaat digitalisasi dalam sektor perladangan,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Saya DIGITAL (JSD) @ Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Program itu menumpukan empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance dan Saya Digital Kerjaya kepada golongan sasaran seperti B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah dan universiti serta usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Chan juga menjelaskan, program JSD merupakan hasil kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan mengalu-alukan kempen SAYA DIGITAL yang diperkenalkan oleh MDEC.
“Ini bagi membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani era teknologi tinggi yang serba mencabar hari ini, inisiatif ini juga sebagai satu usaha untuk mendayaupayakan rakyat bagi menambah punca rezeki mereka.
“Apabila kita berbincang berkenaan pendigitalan ia bukan semata-mata kita perlu mendapatkan peranti yang terkini tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita mengguna pakai aplikasi teknologi dan menghasilkan inovasi yang dapat memberikan nilai tambah lantas memaksimumkan potensi ekonomi kita.
“Oleh itu, bidang perniagaan perlu dimanfaatkan dengan teknologi terkini termasuk teknologi analytics, kecerdasan buatan (AI), dan automasi kerana sistem digital kini memberi impak besar terhadap industri perniagaan dan pihak yang tidak dapat mengikut rentak ini akan berhadapan risiko tercicir serta ditelan arus zaman,” katanya.
Program tiga hari bermula 2 Ogos tersebut dijangka dihadiri 2,500 orang dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi demonstrasi praktikal teknik gerak laju pemasaran digital, robotik di dalam pendidikan, penggunaan teknologi AI di dalam pekerjaan harian, projek DIY dan aplikasi permainan.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Pelaksana Program Sabah Education Tech 2024, Munirah Ruslann. — JABATAN PENERANGAN SABAH





