KUALA LUMPUR: Arena sukan tempur negara bakal kembali hangat dengan penganjuran T-Fight All Star 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 24 April depan.
Acara berprestij itu dijangka menghimpunkan barisan atlet tempur berbakat dari pelbagai kelab dan latar belakang bagi mempamerkan kemahiran, disiplin serta semangat kesukanan dalam suasana kompetitif dan profesional.
Kehadiran ikon Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek, menjadi antara tarikan utama kejohanan apabila beliau dijadualkan beraksi dalam perlawanan utama bagi kategori 70 kilogram. Penampilan itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kali pertama bintang Muay Thai tersebut beraksi di Malaysia.
Menurut penganjur, kejohanan berkenaan dijangka menarik perhatian peminat sukan tempur tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai acara bertaraf dunia.
Secara keseluruhan, T-Fight All Star 2026 akan menampilkan tujuh perlawanan membabitkan penyertaan atlet dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi.
Bagi aksi utama, Buakaw dijadual berdepan petarung dari Beijing, Meng Gaofeng dalam pertembungan Thailand menentang China yang dijangka sengit. Meng, 28, memiliki rekod profesional 45 perlawanan dengan 33 kemenangan, termasuk sembilan kemenangan knockout (KO).
Beliau juga pernah merangkul beberapa kejuaraan antaranya Juara Wu Lin Feng China 2020, WLF World Champion dan IPCC China Champion.
Pertembungan dua kuasa besar sukan tempur Asia itu dijangka menjadi tumpuan utama peminat, selain memberi peluang kepada penonton tempatan menyaksikan aksi legenda dunia secara langsung buat pertama kali di negara ini.






