Kuala Lumpur Muncul Hab Utama Jelajah Muzik Asia

Kuala Lumpur Muncul Hab Utama Jelajah Muzik Asia

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur semakin menyerlah sebagai destinasi utama jelajah muzik antarabangsa di Asia menerusi penganjuran KL Headline Season 2026 yang menghimpunkan 25 konsert global sepanjang tahun ini.

Inisiatif oleh Live Nation Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia dan CelcomDigi itu dijangka menarik kira-kira 500,000 peminat dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan ibu negara sebagai hab hiburan serantau.

Antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk LANY, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar, selain konsert berskala stadium melibatkan Post Malone, The Weeknd dan BTS.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, berkata penganjuran konsert berskala besar mampu merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menarik lebih ramai pelancong serta memberi limpahan ekonomi kepada sektor hospitaliti, penerbangan dan perniagaan tempatan.

Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal, pula berkata usaha itu bertujuan menjadikan Kuala Lumpur hentian tetap dalam jelajah Asia, selain memperkukuh ekosistem hiburan langsung negara.

Katanya, peningkatan minat terhadap hiburan langsung menjadikan konsert sebagai pemacu pelancongan moden yang mendorong peminat merentas sempadan serta memanjangkan tempoh perbelanjaan mereka di destinasi dikunjungi.

Sementara itu, CelcomDigi memaklumkan kerjasama tersebut turut memanfaatkan rangkaian syarikat untuk memperluas akses rakyat kepada pengalaman hiburan bertaraf dunia.

Kedudukan strategik Kuala Lumpur yang berada dalam lingkungan empat jam penerbangan dari bandar utama Asia turut dilihat sebagai kelebihan dalam menarik artis antarabangsa dan peminat serantau.

Secara keseluruhan, KL Headline Season dilihat bukan sahaja sebagai platform hiburan, tetapi pemangkin pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negara.