RM1.5 Bilion Percepat Penyelesaian Isu Asas, Kukuhkan Agenda Infrastruktur Sabah – Azrul

RM1.5 Bilion Percepat Penyelesaian Isu Asas, Kukuhkan Agenda Infrastruktur Sabah – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Peningkatan Pemberian Khas (Interim) kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion setahun yang diumumkan Perdana Menteri disifatkan sebagai perkembangan penting yang mampu mempercepat penyelesaian isu-isu asas rakyat serta mengukuhkan agenda pembangunan infrastruktur negeri.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tambahan peruntukan itu dijangka memberi impak besar kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran berkaitan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik yang sekian lama menjadi antara keutamaan pembangunan Sabah.

Menurutnya, peruntukan yang lebih besar akan membolehkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan lebih menyeluruh terhadap keperluan asas rakyat sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Peningkatan Pemberian Khas ini memberi ruang yang lebih luas kepada kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur yang amat diperlukan rakyat.

“Momentum pembangunan yang sedang berlaku ketika ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu asas secara berperingkat dan terancang demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azrul berkata, antara bukti jelas kemajuan pembangunan infrastruktur negeri ialah Projek Pan Borneo Sabah yang kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Katanya, projek berimpak tinggi itu melibatkan jajaran sepanjang 706 kilometer dengan 35 pakej pembinaan serta nilai keseluruhan hampir RM25 bilion.

“Setakat April 2026, sebanyak 288 kilometer jajaran di bawah Fasa 1A telah mencapai kemajuan hampir 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat, manakala pelaksanaan Fasa 1B yang melibatkan 388 kilometer sedang diteruskan secara berperingkat.

“Apabila siap kelak, Pan Borneo Sabah akan menjadi tulang belakang rangkaian perhubungan negeri yang menghubungkan bandar, luar bandar dan pedalaman dengan lebih cekap, selamat serta berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah mempercepat aktiviti perdagangan, mengurangkan kos logistik, membuka peluang pelaburan dan merancakkan pembangunan ekonomi setempat.

Dalam masa sama, Azrul berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan jalan raya luar bandar dan pedalaman melalui pelaksanaan projek Sistem Rangkaian Jalan Sekunder (SRT2 dan SRT3) serta Non-Qualified Road (NQR).

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 40 projek bernilai kira-kira RM687.7 juta telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah membabitkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 126.47 kilometer.

“Daripada jumlah itu, 78.8 kilometer telah siap sepenuhnya, 25.4 kilometer sedang dalam pelaksanaan manakala 22.3 kilometer berada pada peringkat semakan reka bentuk sebelum pembinaan diteruskan.

“Pelaksanaan projek ini melibatkan pelbagai daerah termasuk Beaufort, Beluran, Keningau, Kota Belud, Kuala Penyu, Kudat, Lahad Datu, Nabawan, Papar, Pitas, Ranau, Sandakan, Tambunan, Tawau, Telupid, Tenom dan Tuaran,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya dalam aspek akses perhubungan, keselamatan jalan raya, pengangkutan hasil pertanian serta peningkatan aktiviti ekonomi luar bandar.

Mengulas mengenai tuntutan hak Sabah, Azrul berkata penyelesaian Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan di Sabah wajar terus dipercepatkan kerana ia merupakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan hak 40 peratus ini penting untuk memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan meningkatkan keupayaan Sabah melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan.

“Kemajuan Pan Borneo Sabah serta pelaksanaan projek SRT2, SRT3 dan NQR membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu asas rakyat. Momentum pembangunan ini perlu diteruskan agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.