KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Penampang menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan Bayaran Khas Interim Sabah kepada RM1.5 bilion tahun ini, menyifatkannya sebagai satu langkah signifikan.
Ketuanya, Eldridge Laurence Timis, berkata peningkatan daripada RM600 juta itu mencerminkan komitmen Putrajaya terhadap hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini bukan pengganti kepada hak 40 peratus hasil, sebaliknya merupakan langkah interim sementara rundingan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan Sabah menerima manfaat kewangan yang lebih besar sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
Eldridge turut menolak kritikan bahawa bayaran tersebut menjejaskan tuntutan Sabah, sambil menyatakan pentadbiran terdahulu hanya menyediakan jumlah interim yang lebih rendah dan gagal menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, peruntukan RM1.5 bilion itu merupakan bayaran interim tertinggi pernah diberikan kepada Sabah dan wajar dilihat sebagai kemajuan ke arah penyelesaian yang adil serta mampan.






