13,000 Ekar Disasar, Taman Perindustrian Kota Belud Dilaksana Secara Berfasa – Ewon

13,000 Ekar Disasar, Taman Perindustrian Kota Belud Dilaksana Secara Berfasa – Ewon

0
SHARE

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata. kira-kira 13,000 ekar tanah telah dikenal pasti bagi pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud yang akan dilaksanakan secara berfasa, tertakluk kepada keputusan Kabinet Negeri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, pelan induk bagi taman perindustrian berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah akan datang.

Menurutnya, pembentangan kertas kabinet itu selaras dengan pengumuman kerajaan negeri sebelum ini untuk membangunkan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat sebagai usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Pelaksanaan pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud akan dikendalikan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) sebagai agensi di bawah kementerian.

“Selaku agensi yang diberi mandat, kita akan mengangkat kertas kabinet ini dan saya yakin Ketua Menteri serta ahli Jemaah Menteri akan memberi sokongan, seterusnya membolehkan usaha pemasaran dan penarikan pelabur dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Kampung Tegudon, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat besar, sama ada dari dalam mahupun luar negara, bagi menggalakkan mereka mempertimbangkan pelaburan serta membuka operasi di taman perindustrian itu.

“Sebagai ADUN kawasan Kota Belud, ini satu kebanggaan kerana kita bakal menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, sama ada kepada usahawan sedia ada untuk terlibat dalam rantaian perkhidmatan atau kepada graduan tempatan untuk bekerja dalam sektor perindustrian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara bersama Ketua Menteri, khususnya ke China, bagi bertemu pelabur berpotensi.

“Inisiatif ini dilaksanakan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekonomi Sabah, menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan serta membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan,” katanya.

Dari segi lokasi, katanya kawasan yang dicadangkan terletak di DUN Pintasan, bersempadan dengan daerah Kota Marudu dan Kota Belud serta berhampiran pesisir pantai Kota Belud.

“Mudah-mudahan ia mendapat sokongan masyarakat setempat kerana sudah tiba masanya Kota Belud mempunyai aktiviti ekonomi berskala besar seperti taman perindustrian yang mampu menjana ekonomi, selain Pekan Kota Belud,” katanya.