Jangan Tinggal Anak Dalam Kereta, Suhu Boleh Mencecah 60°C – JBPM Sabah

Jangan Tinggal Anak Dalam Kereta, Suhu Boleh Mencecah 60°C – JBPM Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, diingatkan agar tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan kerana suhu dalaman kereta yang diparkir di bawah matahari terik boleh mencecah sehingga 60 darjah Celsius, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

JBPM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, suhu dalam kenderaan boleh meningkat dengan cepat, malah dalam tempoh hanya 10 minit, ia mampu melonjak lebih 10 darjah Celsius berbanding suhu luar.

Dalam keadaan suhu luar sekitar 40°C, suhu dalam kenderaan boleh mencecah antara 50°C hingga 60°C, sekali gus mewujudkan persekitaran berbahaya, terutama kepada kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada risiko strok haba kerana sistem kawalan suhu badan mereka belum matang, menyebabkan suhu badan meningkat tiga hingga lima kali lebih cepat berbanding orang dewasa.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan organ dalaman dan berisiko membawa kepada kematian dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sehubungan itu, JBPM Sabah menggesa ibu bapa supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti amalan “Look Before You Lock” atau menoleh ke tempat duduk belakang sebelum mengunci kenderaan.

“Ibu bapa juga disarankan meletakkan barangan penting seperti beg tangan atau kasut di tempat duduk belakang bagi memastikan mereka tidak terlupa memeriksa sebelum keluar dari kenderaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang awam diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya ternampak kanak-kanak terperangkap di dalam kenderaan serta melaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah.

JBPM Sabah turut menegaskan bahawa kesedaran masyarakat amat penting bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini dan menyeru agar mesej keselamatan ini dikongsi secara meluas demi melindungi nyawa kanak-kanak.