Jenazah Pendaki Malaysia Everest 2023 Awang Askandar Selamat Tiba Di T.U Teaching...

Jenazah Pendaki Malaysia Everest 2023 Awang Askandar Selamat Tiba Di T.U Teaching Hospital Kathmandu

0
SHARE
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketibaan jenazah disambut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu Mohd Fadzle Abu Hasan bagi membantu melancarkan proses pengurusan jenazah...(Sumber Foto: FB Malaysia Everest 2023)

KUALA LUMPUR – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Lt. Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di T.U Teaching Hospital, Kathmandu pada 4.40 petang (waktu Nepal) semalam untuk proses bedah siasat dan urusan dokumentasi.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketibaan jenazah disambut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu Mohd Fadzle Abu Hasan bagi membantu melancarkan proses pengurusan jenazah.

“Proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka mengambil masa selama dua hari. Sekiranya semua proses berjalan lancar, jenazah dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya pada hari Sabtu ini, (27 Mei),” menurut kenyataan itu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, yang mempunyai ketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan proses mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari masih dijalankan pasukan penyelamat tempatan.

“Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi misi mencari dan menyelamat ini…

“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan pencarian pendaki Misi Malaysia Everest 2023 yang masih hilang berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA