UMS Juara Keseluruhan SUIPTS 2026, Rangkul 29 Pingat Emas

UMS Juara Keseluruhan SUIPTS 2026, Rangkul 29 Pingat Emas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Sabah (SUIPTS) 2026 selepas mencatat pencapaian cemerlang dengan 29 pingat emas, 13 perak dan 5 gangsa.

Majlis penutupan kejohanan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub di Dewan Auditorium Pascasiswazah, UMS pada Ahad.

Menurut beliau, platform SUIPTS bukan sekadar medan persaingan merebut pingat, tetapi berperanan sebagai wadah penyatuan dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

“Kejohanan ini menjadi sebuah medium penting dalam pembentukan disiplin, nilai integriti, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan pelajar IPT.

“Tahniah diucapkan kepada kesemua 23 institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.

“Penyertaan aktif serta semangat kesukanan yang ditonjolkan sepanjang kejohanan mencerminkan komitmen tinggi warga IPT dalam pembangunan sukan dan modal insan.

“Jadikan pengalaman di SUIPTS 2026 sebagai batu lonjakan untuk terus bersaing di peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan,” katanya.

Dalam kejohanan tersebut, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCS) muncul naib juara dengan kutipan 5 emas, 6 perak dan 10 gangsa manakala tempat ketiga disandang oleh UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan pencapaian 4 emas, 2 perak dan 5 gangsa.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dr. Raman Noordin.