KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seekor gajah jantan yang ditemukan di Sungai Kinabatangan, berhampiran Ladang Angco Jaya dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, jabatan itu pada awalnya menerima laporan mengenai seekor gajah mati di dalam sungai berhampiran Ladang Pontian.
Susulan laporan itu, pasukan yang terdiri daripada Rapid Response Team (RRT) dan Renjer Hidupan Liar Kehormat dari Sukau menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan bangkai berkenaan selepas dipercayai hanyut ke hilir dari lokasi yang dilaporkan pada awalnya.
“Bangkai gajah itu ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera dari Ladang Angco Jaya bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan.
“Gajah itu dikenal pasti sebagai jantan, berketinggian kira-kira enam kaki dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun. Berdasarkan keadaan bangkai, gajah berkenaan dianggarkan telah mati kira-kira empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jafry berkata, pemeriksaan menemukan beberapa kecederaan pada gajah berkenaan, manakala kedua-dua gadingnya didapati hilang. Penemuan itu kini menjadi sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Pada peringkat ini, kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian. Perkara ini memerlukan siasatan lanjut dan mesti disokong dengan bukti,” katanya.
Jafry berkata, bedah siasat telah dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah pada 1 Oktober, dengan sampel organ dan kandungan perut gajah berkenaan diambil untuk analisis makmal.
“Pada peringkat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan. Kita sedang menunggu keputusan makmal serta hasil penuh bedah siasat.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan yang menyebabkan kehilangan kedua-dua gading gajah berkenaan.
“Jabatan itu juga sedang mengambil keterangan daripada individu yang pertama kali melaporkan kejadian tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan susulan,” katanya.
Jafry berkata, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar.
Dalam pada siasatan diteruskan, Jafry turut menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama bagi membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini digesa tampil dan melaporkannya kepada jabatan dengan segera,” katanya.
“Kita perlu memberi ruang kepada Jabatan Hidupan Liar untuk melengkapkan siasatan dan mendapatkan keputusan makmal. Tidak seharusnya ada sebarang spekulasi mengenai punca kematian sehingga hasil saintifik dan siasatan selesai.
“Perlindungan hidupan liar Sabah adalah satu tanggungjawab yang kami pandang serius dan kejadian seperti ini mesti disiasat secara menyeluruh berdasarkan bukti,” katanya.






