Bomba Pantau Kawasan Susulan Gempa Lemah 3.5 Magnitud di Paginatan

Bomba Pantau Kawasan Susulan Gempa Lemah 3.5 Magnitud di Paginatan

0
SHARE

RANAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemantauan di sekitar Kampung Paginatan di sini, susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 yang berlaku pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.22 pagi sebelum dua anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurut maklumat awal, gempa bumi berkenaan berlaku pada jam 10.57 pagi pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur, kira-kira 14 kilometer selatan Ranau dengan kedalaman 13 kilometer.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari dan menjalankan pemantauan serta menemubual beberapa penduduk setempat berhubung dakwaan berlakunya gegaran gempa bumi.

“Hasil pemeriksaan dan maklum balas yang diperoleh mendapati penduduk tidak merasai sebarang gegaran serta tiada sebarang kesan atau kerosakan dilaporkan di kawasan berkenaan,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran dilaporkan dirasai di Ranau dan kawasan sekitarnya, manakala keadaan akan terus dipantau.

Rantey berkata, pemeriksaan akhir turut dilakukan bagi memastikan tiada unsur bahaya atau risiko lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari.

Operasi berkenaan diketuai PBK II Nickson Juni dengan kekuatan dua anggota BBP Ranau menggunakan sebuah kenderaan utiliti.