KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak berpeluk tubuh, sebaliknya akan bergerak dengan segenap akal dan bertiwikrama (berusaha sedaya upaya) untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras global ketika ini.
Perdana Menteri berkata ini termasuk menerusi beberapa langkah intervensi diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras putih import (BPI) dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan YB (Yang Berhormat) Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di pejabat saya bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.
“Diharap langkah ini akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Perpaduan prihatin akan isu semasa khususnya apabila rakyat ingin mendapatkan jaminan bekalan BPT dan harga BPI.
“Kendatipun, saya amat peka dan mendengar segala keluh kesah yang dibangkitkan rakyat ekoran kenaikan harga BPI di pasaran ekoran kenaikan harga beras global,” kata beliau.
Menurut Anwar fenomena kenaikan harga beras bukan hanya berlaku di Malaysia malah melibatkan negara serantau susulan tindakan 19 negara yang mengehadkan eksport beras untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.
Terdahulu, Mohamad dalam sidang media khas berkata Perdana Menteri bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Antara langkah itu adalah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedaikedai runcit, dengan kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA.
Bagi Sabah dan Sarawak, Mohamad berkata kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
– BERNAMA