Kerajaan Negeri Sumbang Peruntukan Khas RM50,000 Biayai Pasukan Bola Wakili Sabah Ke...

Kerajaan Negeri Sumbang Peruntukan Khas RM50,000 Biayai Pasukan Bola Wakili Sabah Ke MSSM

0
SHARE
Ellron
Sidang media khas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Belia dan Sukan Sabah telah meluluskan peruntukan RM50,000 bagi membiayai pasukan bola sepak bawah 18 tahun dan bawah 15 yang menjuarai Majlis Sukan Sekolah Daerah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata pihaknya maklum mengenai perkara terbabit dimana tular satu pautan dilaman media sosial Facebook mengenai pasukan terbabit yang tidak dapat menyertai Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor disebabkan masalah kewangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata semalam pihaknya telah membentangkan cadangan peruntukan khas berkenaan untuk disumbangkan kepada pasukan-pasukan ini dan ahli jemaah menteri telah sebulat suara meluluskan dana berkenaan.

“Kita berharap agar Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk memohon dana secepat yang mungkin bagi disalurkan kepada pasukan-pasukan tersebut.

“Meskipun kita menyedari bahawa kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia ini bukan dibawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan Sabah, tetapi sebagai orang Sabah dan atas semangat kesukanan itu, kita bantu, kerana pada akhirnya mereka juga bakal mewakili Sabah ke peringkat lebih tinggi seperti SUKMA, Sukan Asia dan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat kementerian, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor.

Dalam pada itu, Ellron turut menyatakan harapan agar pasukan bolasepak B15 tahun dan B18 terbabit dapat melakukan yang terbaik dan menjuarai kejohanan berkenaan.

Beliau turut difahamkan bahawa kejohanan MSSM tersebut bakal berlangsung pada 25 sehingga 30 Ogos 2023 yang akan diadakan di Johor.